BEIJING: Pesawat Air China yang dalam perjalanan ke Beijing terpaksa mendarat di Zhengzhou di tengah China hari ini, selepas seorang penumpang dilaporkan mengancam seorang anak kapal dengan sebatang pen.
Dalam satu kenyataan ringkas di laman webnya, Pentadbiran Penerbangan Awam China, berkata insiden membabitkan seorang penumpang lelaki yang berada di dalam pesawat 1350 Air China.
Namun, identiti penumpang yang cuba menahan anak kapal itu tidak didedahkan.
Menurut kenyataan itu lagi, tiada penumpang dan anak kapal yang cedera dalam kejadian itu, tanpa mengulas lanjut mengenainya.
Sementara itu, media tempatan dan laman web pengesan penerbangan melaporkan, pesawat terbabit berlepas dari Changsha, iaitu ibu kota wilayah Hunan pada jam 8.40 pagi (waktu tempatan) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada jam 11 pagi (waktu tempatan).
Bagaimanapun, Air China dalam mesej di akaun Weibo berkata, ia terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng di wilayah Hunan pada jam 9.58 pagi (waktu tempatan).
Air China berkata, pesawat itu terpaksa dilencongkan atas alasan keselamatan dan polis serta pihak berkuasa penerbangan awam sedang memantau isu berkenaan. - Reuters