BARCELONA: Lionel Messi akan direhatkan Barcelona ketika berkunjung ke kelab bergelut, Levante, malam ini tatkala juara La Liga itu hanya kurang dua perlawanan untuk melengkapkan kempen tanpa kalah semusim.
Barcelona yang mengesahkan kejuaraan liga hujung bulan lalu tidak menyenaraikan Messi daripada 18 senarai pemain yang akan dibawa ke Levante yang ketika ini bergelut apabila menghuni tangga kelima tercorot.
Kelab gergasi itu berpeluang melanjutkan kempen tanpa kalah kepada 44 perlawanan La Liga berturut-turut jika berjaya mengelak kekalahan dengan aksi terakhir menentang Real Sociedad di laman sendiri, Nou Camp.
Jika ia berjaya dilakukan, Barca akan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari liga elit Sepanyol mengharungi aksi tanpa kalah dalam 38 perlawanan.
Real dan Athletic Bilbao sebelum ini pernah mengharungi kempen semusim tanpa kalah masing-masing pada 1932 dan 1930 tetapi tempoh perlawanan ketika itu singkat dengan hanya memiliki 18 perlawanan.
Tindakan bos Barca, Ernesto Valverde menggugurkan nama Messi dipercayai disebabkan janjinya terhadap skuad kebangsaan Argentina yang mahu pemain bintang itu cergas menjelang Piala Dunia Russia selepas mengalami kecederaan hamstring, April lalu.
Penyerang itu berada di landasan baik untuk memenangi anugerah "pichichi" atau Kasut Emas Sepanyol selepas mengumpul 34 gol musim ini dengan seteru utamanya, Cristiano Ronaldo ketinggalan sembilan gol di kedudukan kedua.
Begitupun, kedudukannya untuk memenangi anugerah kelima Kasut Emas Eropah masih boleh dicabar pemain Liverpool, Mohamed Salah yang mengumpul 31 gol tetapi pemain Mesir itu hanya memiliki baki satu perlawanan. - AFP
sumber: bharian