SUNGAI BULOH: Enam anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal ditahan awal pagi tadi, kerana dipercayai terbabit dalam kejadian samun restoran dan kedai runcit di Jalan MP1 Matang Pagar di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, enam suspek berusia 28 hingga 35 tahun dikatakan tiba di restoran berkenaan dengan menaiki PERODUA Myvi dan PROTON Persona.
Menurut sumber, semua suspek termasuk dua daripada mereka memakai 'vest' polis, masuk ke dalam restoran berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Katanya, seorang daripada mereka kemudian mengacu pistol ke arah juruwang restoran yang juga warga asing, manakala tiga lagi menyelongkar bilik serta kaunter sebelum beredar selepas mengambil semua wang berjumlah RM4,000.
"Beberapa minit kemudian, keenam-enam suspek berkenaan memasuki sebuah kedai runcit yang terletak bersebelahan restoran terbabit, juga memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu melakukan pemeriksaan permit kerja serta pasport.
"Dua saspek menyuruh pekerja dan pelanggan ke belakang kedai untuk pemeriksaan, manakala tiga yang lain menyelongkar kedai dan kaunter," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sumber berkata, selepas mengambil wang tunai RM3,500 dan barang, termasuk lima karton rokok, kad tambah nilai telefon dan jam tangan berjenama dalam kedai runcit itu, mereka melarikan diri dengan dua kereta terbabit.
"Hasil maklumat, polis menahan enam anggota polis yang bertugas di Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Kuala Lumpur dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
"Berdasarkan soal siasat awal, semua suspek mengaku terbabit dengan kes berkenaan dan mendapat habuan kad tambah nilai dan wang tunai berjumlah RM120 setiap seorang.
"Semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Difahamkan semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 5 Mei nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.
sumber : bharian