ALOR SETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah mengesahkan berlaku perubahan lokasi bagi pusat penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengarahnya, Zuhri Ismail, berkata perubahan lokasi itu akan mengambil kira faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas.
"Pusat penamaan calon kita kekal 15 mengikut kawasan Parlimen, cuma lokasinya berubah bergantung kepada pegawai daerah.
"Mungkin mereka akan mengadakannya di bangunan baharu, mengikut kesesuaian tempat, faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas," katanya kepada NSTP, di sini.
Pada masa sama, Zuhri berkata, pihaknya kini sedang menunggu panggilan untuk mesyuarat khas oleh SPR peringkat pusat bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai perjalanan PRU-14.
Beliau berkata, ia termasuk maklumat mengenai jumlah pengundi kali ini dan penjualan borang pencalonan bagi pilihan raya.
"Biasanya selepas mesyuarat khas baru kita dapat maklumat terperinci itu, termasuk penjualan borang pencalonan.
"Borang pencalonan akan dijual di pejabat SPR dan pejabat pegawai pengurus apabila dimaklumkan kelak," katanya.
Pada PRU-13, jumlah keseluruhan pengundi di Kedah adalah 1,022,136 orang, dengan 76.18 peratus Melayu; Cina (15.52 peratus) dan India (6.79 peratus).
sumber : bharian