JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bertitah kepada rakyat negara ini untuk buka mata dan jangan tertipu dengan apa yang dikatakan oleh individu berusia 93 tahun yang ingin menjadi Perdana Menteri.
Tunku Ismail bertitah, supaya rakyat jangan tertipu, buka mata, gunakan akal fikiran dan mengikut bayangan yang akan baginda berikan kerana baginda tahu apa yang rakyat tidak tahu.
"Inilah masanya untuk 'restore the order' (pulihkan perintah) dan melaksanakannya kepada sistem yang sudah dirosakkan oleh individu yang berumur 93 tahun ingin menjadi Perdana Menteri sekarang ini.
"Inilah masanya untuk bumi selatan mengawal sesetengah situasi dan memulihkan semula 'order' yang sudah dirosakkan oleh individu yang tamakkan kuasa dan duit.
"Jangan mudah terpengaruh dan percaya dengan apa yang anda dengar semalam (kelmarin) di Pasir Gudang. Negeri Johor tidak akan pernah lupa kepada individu yang ingin membubarkan Angkatan Setia Negeri Johor (JMF) yang wujud sejak 1886 dan berangan mahu menarik kuasa Sultan Johor yang memerintah serta memperkecilkan perlembagaan negeri Johor yang wujud sebelum adanya negara bernama Malaysia," titah baginda.
Titah Tunku Ismail dimuat naik dalam laman rasmi Johor Southern Tigers, malam tadi.
Tunku Ismail berkata, rakyat seharusnya tidak mudah dipermainkan dengan anasir luar yang mahu menghancurkan kedaulatan negeri itu.
"Ingatlah wahai rakyat Johor yang saya kasihi sekalian. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Selagi rakyat Johor bersatu bersama-sama dengan kepimpinan Sultan Johor termasuk saya, pelbagai perkara yang kita mahukan boleh dicapai untuk masa hadapan anak cucu cicit kita.
"Jangan kita berpecah belah dan mudah dipermainkan dengan anasir-anasir luar yang mahu menghancurkan kedaulatan negeri ini. Lihatlah apa yang telah saya lakukan terhadap bola sepak. Bola sepak ini hanyalah latihan. Ia ibarat saya ke 'driving range' sebelum pertandingan golf sebenar," titah baginda.
sumber : bhatrian