'Tolong saya cari bapa bayi ini'


KUALA LUMPUR: Nasib seorang bayi penghidap ekzema kronik meraih perhatian suami Nora Danish, Nedim Nazri yang mahu membantu menampung kos perubatan si kecil itu.

Nedim tidak tahu cara untuk menghubungi bapa bayi berkenaan lalu meminta sesiapa yang mengenali lelaki terbabit menyampaikan hasratnya itu.



"Salam... Boleh periksa bayi kena ekzema tu. Saya nak sponsor (taja) sepenuhnya rawatan untuk berjumpa doktor saya di Kuala Lumpur. Saya akan tanggung hotel, penerbangan untuk ibu dan bapa serta kos perubatan... Terima kasih," katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu meninggalkan komen pada entri akaun Instagram yang mengepos semula muat naik pengguna dikenali sebagai Danial Rayyan yang meminta orang ramai mendoakan anaknya cepat sembuh.

Daripada posting berkenaan, difahamkan bayinya menghidap ekzema teruk hingga perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan berkala setiap minggu di hospital.

Entri dikongsi Danial berbunyi:

"Assalamualaikum dan selamat pagi sahabat. Anak saya disahkan menghidap penyakit ekzema kritikal. Saya tak sampai hati melihat baby (bayi) menangis setiap hari menanggung kesakitan.

"Setiap minggu baby perlu dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Saya mohon doakanlah anak saya semoga sembuh dari penyakitnya... Terima kasih," katanya.

Niat murni Nedim meraih perhatian netizen yang rata-rata bersyukur apabila ada insan prihatin yang dapat meringankan tanggungan ibu bapa berkenaan.

Ketika ini, usahawan terbabit bersama isteri serta anak-anak termasuk si kecil yang berusia hampir dua bulan, Mohamed Neqayl, bercuti di luar negara.

sumber : bharian 
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==